Skip to main content

Posts

Showing posts with the label catatan

Tia dan Andy - Dia Dari Penjuru Tahun Ini

Guyur dan Disember. Punya ceritakah dikau? Barangkali kau mengandung kisah yang selama bertahun dipendam hingga akhirnya kau memilih untuk melepaskannya pada penjuru tahun ini. Oh guyur jatuh lagi. Ada pecah teriak petir yang menemani. Selama dirimu yang dikenali, tiadalah satu pun rasa pilu yang pernah kau dodoi hingga ke mimpi. Kau sudah berubah. Kau menjadi perahsia yang sengaja memecahkan segalanya. Guyur menyelimut dengan kedinginan. Mahu apa kau pada diri sendiri? Menjadi perasa itu pedih sifatnya. Kembalilah menjadi dirimu, yang cantik bersembunyi di balik tala suara dalam gua ciptaan sendiri.

Andy dan Tia - Suzuki Biru

Andy: Aku rindukan kau, Tia. Tia: Jangan mengarut. Kita sering berbicara, bukan? Andy: Kau ingat ketika kita di universiti dahulu. Kau dan aku ditahan oleh pak pengawal kerana kita pulang ke kampus terlalu lewat. Jam 2 pagi jika tidak silapku. Aku terlalu cemas memandangkan kita pelajar tahun satu yang tidak dibenarkan memandu kereta peribadi dalam kawasan univerisiti. Namun kau keluar dari kereta kerana kau lihat aku sudah lama ditahan. Kau mahu memarahi pengawal itu tetapi ditahan olehnya kerana dia menganggap perbuatanmu sia-sia. Perbuatanmu tidak pernah sia-sia, Tia. Tia hanya ketawa kecil sambil berenang dalam lautan kenangan.  Andy: Tia itu yang aku rindukan. Tia si pemberani, yang mampu bersuara atas nama keadilan. Gadis penentang pada kehendak sekeliling.  Tia senyum lalu membaling pandang ke luar jendela. Mungkin Tia yang dahulu juga sudah lama tidak ditemui oleh dirinya sendiri. Mungkin segalanya sudah diserap oleh satu kekuasaan yang bernama kematan...

Andy dan Tia - Vignet Ramayana

Guyur tidak renggang dengan langit malam sejak sepurnama lalu. Ttia masih duduk sambil melihat titis-titis yang menari di luar jendela. Mungkin Tuhan mahu memujuknya, atau memeluknya dengan dingin yang tidak tercipta dek manusia. Malangnya, dingin yang diperturunkan oleh pencinta kiri kanannya terlalu membeku hingga dia terpaku untuk lari dari segalanya.  Rama dan Bunda. Kekasih sejak kecil yang tidak putus memujuknya, sesuai dengan amanah Tuhan kepada mereka.  Siang tadi, mereka berpapasan fikrah lagi. Bunda yang lebih lantang tetapi penuh susila, sementara Rama pula sosok perkasa yang lebih selesa berfikir tetapi tidak pernah putus membujuk.  Maka, di manakah Ttia?  Oh, ada di sini sambil mengutip sisa-sisa airmata langit yang lebih kecewa atas perpisahan manusia yang tidak pernah putus berlaku.  Rama dan Bunda tidak pernah tahu. Atau mereka faham bahawa Ttia cuma anak kecil yang tidak layak berperasaan sama? Atau mungkin selama ini, Ttia me...

Andy dan Tia - Kebiadaban

Aku terlupa kiranya kau seorang yang mencintai perasaan. Ya, perasaan dan dirimu sentiasa berpimpin tangan dalam kehidupan, hingga kau merasakan ia adalah segala harta dunia yang kau miliki, sementara aku ialah teman yang kau cari ketika perasaan tidak mahu bertindak apa-apa. Kadangkala aku cemburu pada cintamu dengan perasaan. Dan malam ini kau raikannya bagai menantikan kekasih yang sudah lama menyepi. Aku terduduk, menanti kau menghulurkan tangan seperti malam-malam sebelumnya. Namun kau terlalu asyik menari lalu letih bersama perasaan. Ketahuilah, aku kesal saat aku bicarakan kata-kata itu. Kata-kata yang pernah kau benci suatu ketika dahulu. Kata-kata yang disebutkan tanpa aku sedari hingga membuatkan perasaan hadir semula untuk memelukmu. Kononnya, ia mahu memujuk. Namun aku tahu kau akan lemas dalam dakapannya. Aku tidak boleh berbuat apa, kerana kesalahan bukan sepenuhnya terletak atas pundakku. Celaka punya lidah! Mungkin aku perlu menyerah untuk malam ini? Akan ak...

Andy dan Tia - sudut pandang Daruma atas Tanggang

Saya perlu menulis tentang ini. Saya mahu simpan perasaan ini buat peringatan pada masa mendatang. Saya mahu bercakap tentang #utter2016 . Suatu penghargaan terbesar buat saya kerana tidak pernah terjangkau dek akal untuk karya sendiri diadaptasi dalam bentuk filem. Hei, mana mungkin saya, si kerdil ini diberikan peluang seazmat ini. Saya bukan penulis berpengalaman, malah sebuah buku sendiri pun tiada. Maka penghargaan ini terlalu besar untuk saya pikul!  Bercakap tentang penghargaan tak terfikir dek akal ini, maka cerpen-cerpen yang saya tulis tidaklah saya bayangkan dalam bentuk visual. Saya lebih suka menulis atas sebab saya mahu memanjangkan fikiran saya lalu ia sampai pada fikiran orang lain. Maka pemilihan watak dan latar ialah perkara yang terakhir dalam fikiran. Yang penting, saya ada idea, sementara watak dan latar sebagai perantara.  Namun kehadiran #utter2016 ini memberikan kesedaran buat saya: saya terlalu sayang pada watak-watak saya, lebih-lebih lag...
Dan saya menulis lagi. Saya yang lebih gemar menulis daripada bersembang.  Dalam tulisan, saya dibukakan peluang untuk merancang. Beza dengan bercakap, peluang berfikir itu terlalu singkat. Saya sedar keselesaan saya ini berpunca sewaktu saya menulis kerja sekolah di universiti. Guru (saya lebih suka perkataan itu daripada penyelia atau pensyarah. Lebih memasyarakat) menekankan betapa saya harus mencintai perkataan dan memahami setiap perkataan yang saya gunakan hatta pada hal kata sendi. Kini, jika diminta untuk saya bercakap dengan panjang lebar, saya takut. Saya takut jika saya munafik pada perkataan sendiri. Maka ada undangan yang meminta saya untuk bercakap, saya tolak. Biarlah saya dikatakan pengecut atau hipokrit pada gelaran yang ada pada diri. Saya tidak mahu diperhitungkan di hari muka akibat kata-kata sendiri.
Mengapa kembali ke sini? Tanya hati. Entah. Tetapi sedarlah saya semakin matang dalam penulisan. Mengenang bentuk penulisan sendiri lewat diari, saya pernah menggunakan bahasa yang terlalu mudah hatta ia seolah-olah teh yabg tidak sempat ditapis. Saya rasa jijik pada tulisan sendiri tetapi tidak malu. Lagipun, tiada siapa yang akan membacanya! Tambahan pula, ia suatu proses pembelajaran. Setelah berada di alam universiti dan bercampur dengan lebih ramai orang, bahasa penulisan peribadi saya bertambah baik (oh, boleh ya memuji diri sendiri?). Saya lebih malu dalam berbahasa. Saya suka menulis dengan gaya berbunga. Adakalanya terlalu lebat hingga dirasakan seperti hutan bunian! Hari ini, saya masih menulis. Namun sudah ada perubahan daripada sebelumnya. Tidak lagi berbunga, lebih pada telus hingga masuk dalam jiwa. Seboleh-bolehnya, saya mahu pembaca merasai apa yang saya rasa. Oleh itu, tulisan saya kini tiada bebunganya kecuali lebih murni dengan tapisan rasa. Pastinya ia suatu tera...