Skip to main content

Posts

Showing posts with the label certot

Andy dan Tia - Sang Penikam

  Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku.   Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.

Tia dan Andy - Hawa Mahal, sebuah pandangan

"Kau wanita yang paling berbeza." Jemari Andy masih bermain dengan kamera kecil yang baru dibelinya. Katanya, kamera buat mainan. Suka-suka. Fikirannya masih tentang Tia walaupun matanya sudah terpikat pada struktur Hawa Mahal di hadapannya. "Apabila wanita lain petah memuji cantiknya gunung-gemunung dibalut salji, banjaran yang menelan mentari kau memilih untuk memuji bangunan ciptaan manusia. Kau menentang kebiasaan." "Bukan aku yang menentang biasa, aku cuma menjadi yang biasa. Biasa bagi diriku dan dirimu, insan-insan yang hidup diapit belantara batu bata. Lagipun, bukankah ciptaan bangunan itu lebih indah? Kau fikirlah. Keindahan alam itu terlalu murni sifatnya kerana ia tercipta langsung daripada Tuhan. Bangunan pula.. Ya seperti bangunan di depanmu ini lebih indah kerana hadirnya tidak langsung daripada Tuhan, tetapi melalui proses penaakulan insan yang dipilih olehNya. Terlalu banyak kita boleh bersoal tentang sebuah bangunan hinggakan ...

Andy dan Tia - Suzuki Biru

Andy: Aku rindukan kau, Tia. Tia: Jangan mengarut. Kita sering berbicara, bukan? Andy: Kau ingat ketika kita di universiti dahulu. Kau dan aku ditahan oleh pak pengawal kerana kita pulang ke kampus terlalu lewat. Jam 2 pagi jika tidak silapku. Aku terlalu cemas memandangkan kita pelajar tahun satu yang tidak dibenarkan memandu kereta peribadi dalam kawasan univerisiti. Namun kau keluar dari kereta kerana kau lihat aku sudah lama ditahan. Kau mahu memarahi pengawal itu tetapi ditahan olehnya kerana dia menganggap perbuatanmu sia-sia. Perbuatanmu tidak pernah sia-sia, Tia. Tia hanya ketawa kecil sambil berenang dalam lautan kenangan.  Andy: Tia itu yang aku rindukan. Tia si pemberani, yang mampu bersuara atas nama keadilan. Gadis penentang pada kehendak sekeliling.  Tia senyum lalu membaling pandang ke luar jendela. Mungkin Tia yang dahulu juga sudah lama tidak ditemui oleh dirinya sendiri. Mungkin segalanya sudah diserap oleh satu kekuasaan yang bernama kematan...

Andy dan Tia - Pentas

"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja. 

Andy dan Tia - Alegori Sepi

"Aku sentiasa bermimpi untuk melayarkan sebuah perahu kertas." Tia hanya memandang wajah Andy. Walapun kurang faham akan maksud lelaki itu, dia hanya mengutus soalan lewat pandangan mata. Harap-harap dia mengerti. "Perahu kertas ialah lambang pada impian yang rapuh, tetapi dijaga kemas agar tidak reput sebelum sempat bertemu permukaan air. Perhubungan antara insan juga sama, Tia. Ia nampak kental pada zahirnya, namun jika tidak dijaga rapi, ia memakan hati sendiri." Andy mengulang analogi yang pernah disebutkan pada Tia sebelum ini. Tia cuba menebak dalam pada menyusun peristiwa-peristiwa dalam hidup lelaki itu; tetapi tiada sampai hatinya untuk mencuit fikiran sebegitu. "Kenapa tidak kau lakukannya sekarang? Kau masih membina perahu kertas itu?" Soalan Tia dibalas dengan senyuman dan genangan mata yang paling dalam ke arah laut biru yang terbentang di hadapan mereka. "Bagaimana kalau aku menjadi saksi kepada karamnya perahu kertas y...

Andy dan Tia - Si Pengirim Garam II

Kau pernah bertanya pada Si Pengirim Garam itu tentang kesungguhannya untuk menghantar garam itu atas sebab simpatinya terhadap kau yang menunggu di puncak gunung antah-berantah itu, atau kerana keikhlasannya pada nasib kau yang tidak pernah mencicip masinnya garam? Kau benar-benar keliru. Sementara dia pada awalnya menjelaskan di sebalik tugasnya sebagai pengirim, dia juga manusia biasa. Dia tahu bahawa kau adalah hamba Tuhan yang layak menjamah rasa masin, lantas tidak peduli pada kata-kata orang lain atas kebodohannya mengayuh basikal yang berat muatan untuk kau. Dan saat dikenang semula betapa kau mempersoalkan keikhlasannya, dia sedang kesat airmata.

Andy dan Tia - Vignet Ramayana

Guyur tidak renggang dengan langit malam sejak sepurnama lalu. Ttia masih duduk sambil melihat titis-titis yang menari di luar jendela. Mungkin Tuhan mahu memujuknya, atau memeluknya dengan dingin yang tidak tercipta dek manusia. Malangnya, dingin yang diperturunkan oleh pencinta kiri kanannya terlalu membeku hingga dia terpaku untuk lari dari segalanya.  Rama dan Bunda. Kekasih sejak kecil yang tidak putus memujuknya, sesuai dengan amanah Tuhan kepada mereka.  Siang tadi, mereka berpapasan fikrah lagi. Bunda yang lebih lantang tetapi penuh susila, sementara Rama pula sosok perkasa yang lebih selesa berfikir tetapi tidak pernah putus membujuk.  Maka, di manakah Ttia?  Oh, ada di sini sambil mengutip sisa-sisa airmata langit yang lebih kecewa atas perpisahan manusia yang tidak pernah putus berlaku.  Rama dan Bunda tidak pernah tahu. Atau mereka faham bahawa Ttia cuma anak kecil yang tidak layak berperasaan sama? Atau mungkin selama ini, Ttia me...

Andy dan Tia - Kebiadaban

Aku terlupa kiranya kau seorang yang mencintai perasaan. Ya, perasaan dan dirimu sentiasa berpimpin tangan dalam kehidupan, hingga kau merasakan ia adalah segala harta dunia yang kau miliki, sementara aku ialah teman yang kau cari ketika perasaan tidak mahu bertindak apa-apa. Kadangkala aku cemburu pada cintamu dengan perasaan. Dan malam ini kau raikannya bagai menantikan kekasih yang sudah lama menyepi. Aku terduduk, menanti kau menghulurkan tangan seperti malam-malam sebelumnya. Namun kau terlalu asyik menari lalu letih bersama perasaan. Ketahuilah, aku kesal saat aku bicarakan kata-kata itu. Kata-kata yang pernah kau benci suatu ketika dahulu. Kata-kata yang disebutkan tanpa aku sedari hingga membuatkan perasaan hadir semula untuk memelukmu. Kononnya, ia mahu memujuk. Namun aku tahu kau akan lemas dalam dakapannya. Aku tidak boleh berbuat apa, kerana kesalahan bukan sepenuhnya terletak atas pundakku. Celaka punya lidah! Mungkin aku perlu menyerah untuk malam ini? Akan ak...

Andy dan Tia - karangan untuk Fia

Pertanyaan: Bagaimana kiranya jika apa yang kau gubah itu dicemuh orang? Tidakkah kau khuatir ditertawakan? Andy kulum soalan itu. Terlalu lama hingga Tia sangkakan lelaki itu mahu meludahnya dengan apa yang terkumpul. Namun Andy cuma diam. Hakikatnya, Andy tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya. Menyusun kata-kata tidak sama seninya dengan menggubah bebunga. Yang ditertawakan ialah dirinya, bukan karangan bebunga yang disusun letak dalam pasu  itu . Dia tidak pernah ambil peduli atas hilai tawa orang lain. Dosa ditertawakan itu bukan terletak atas karangan bunga itu, tetapi dirinya. Maka adakah demi menutup kekerdilan diri, maka karangan bunga yang indah itu dibiar simpan di kebunan sahaja? Tia tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk membuatkan lelaki itu berbicara. Bebunga yang dibentangkan atas meja oleh Andy masih tersusun, menunggu untuk dipotong tangkainya sebelum satu-persatu menjadi korban pada suatu keindahan yang bernama seni.

Andy dan Tia - Cinta dalam Amplop

Tia menghilang. Andy tidak pernah sedar yang dia sudah melukai. Hanya atas dasar sebatang pena, mereka membisu sejak kelmarin. - Kau marah? Hukumlah aku. Pesanan Andy itu tidak terbalas. Puas dia memilih perkataan yang paling wangi untuk Tia. Nampaknya kata-kata sudah hilang makna bagi wanitanya. Hakikatnya, Tia menyimpan rajuk. Ya, suatu rajuk untuk Andy atas sebab pena kesayangannya. Pena yang digunakan lelaki itu sungguh menggembirakan diri pada awalnya . Dengan harapan, lelaki itu boleh melahirkan segala keharuman daripada dakwat birunya. Namun sekarang, pena itu tiada, entah di mana. Betapa kecewa hati wanitanya itu apabila mendapat khabar malang itu. Bukankah pena itu satu-satunya perantara antara cintanya dengan Andy selama ini? Kecuaian lelaki itu ternyata membuatkan dia bersoal; sejauh manakah keikhlasan sosok perkasa itu pada dirinya? Yang utama; jika dia berutus cinta dengan pena selain pena itu kelak, adakah masih sama roh kesetiaan yang selama ini dikirimkan dalam ...

Andy dan Tia - Angin Timur

Kau dan aku hanya akan bertemu seiring angin timur. Kau akan pergi bersama bayu sementara aku akan keguyuran sendiri. Untuk apa kita bertembung lagi?

Andy dan Tia - Monolog Seorang Barista

Kenapa kau tidak mahu menyentuh kertas kesat mulut itu? Kau tahu bukan, yang serviette itu aku sengaja sisipkan di sisi cawan teh chamomile yang kau pesan tadi. Cubalah buka dan lihat isinya.  Ada sebuah puisi itu yang sudah aku karang sejak pertama kali kau mampir di kafe ini. Tetapi selamanya aku terus menyimpannya dan aku ranumkan bait-baitnya di dalam kepala. Hinggalah tiba hari ini, kau pesan secangkir teh untuk menemanimu yang mau menikmati senja. Oh, kau tidak akan menyentuh serviette itu? Barangkali aku cuma pencinta bodoh yang mengharapkan kau lakukan sesuatu yang tidak menjadi kemestian sepertimana kau mengharapkan mentari jingga itu mengusikmu di balik jendela kaca.  Lalu kau pergi. Teh yang kau pesan masih berbaki bersama cinta yang bergenang di permukaannya. 

Andy dan Tia - Suara yang tenggelam

Andy mencari Tia. Dalam beberapa detik, dia terlihat keberadaan wanita itu di luar pintu, melemparkan pandangan pada jalan raya yang sesak. Bunyi kereta berasak-asak yang menuju terowong malam terus saling kejar-mengejar untuk melangsungkan tanggungjawab pada tuannya. Semoga semuanya selamat sampai dalam rangkulan keluarga.  Andy merapati Tia. Tidak seperti selalu, malam itu dia berdiri di samping wanita itu. Setelah mendekat, dia merenung wajah wanita itu yang masih leka mendoakan pemilik-pemilik kenderaan dari tingkat 6 itu. Tia menyedari kelakuan Andy lalu dia memutuskan pandangannya dan berkalih pada suaminya. "Sejak kita bernikah, aku tidak pernah mendengar suaramu lagi, sayangku." Tia terketawa kecil. Sudah pasti lelaki di sebelahnya tidak bermaksud secara literal. Menjadi isteri, Tia telah membuang dirinya sebenar. Dia terus kembali merenung jalan raya malam itu. Tidak perlu lama, dia langsung berkata, "Suaraku sudah aku serahkan menjadi milikmu...

Andy dan Tia - Kata dari Hati

Andy lihat Tia sendiri. Mungkin wanita itu agak janggal dengan situasi pada malam itu. Berada di tengah-tengah kelompok muzik, dia kaku lalu melangkah ke tebing majlis dan melempar pandangan pada kelam malam di kota seribu neon ini. "Kau perlukan teman?" Andy mula menyapa.  Tia terlepas daripada menungan sendiri. Dia memandang Andy yang baru pertama kali ditemuinya pada malam ini. "Kau terlalu berdiam. Hei, berbual-bual bersama kami. Mungkin kami penuh inspirasi buatmu. Atau kau lebih selesa menulis sahaja, benar?"  Tutur Andy terlalu bertubi-tubi. Setelah dihadiahkan senyuman, barulah dia sedar bahawa tindakannya itu tidak wajar untuk wanita sesepi Tia.  Tia memilih untuk senyum lalu memulakan bicara, "Aku lebih suka menulis daripada berkata. Kau tahu, menulis itu lebih ikhlas sifatnya. Dengan menulis, aku dapat bersuara mewakili hati. Apabila berkata, isi hatiku sering melalui pagar fikiran. Minda memaksa agar aku sentiasa berhati-hati pada ke...

Andy dan Tia - Masih Aku Cinta

Jemari Andy bergerak mengikut rentak yang tersusun. Di tangan kanannya, telefon tangan terpasang dengan papan kekunci di layarnya. Andy kumpul kudrat, lalu mendail nombor yang lima tahun tidak diramahnya. Bunyi deringan di hujung talian terhenti tiba-tiba. Andy: Kau di sana, bukan? Semalam aku terpandang dirimu di kotak sembang. Aku senyum sendirian. Aku tau yang baik-baik sahaja. Maaf jika suaraku ini meluap amarahmu beberapa tahun lepas, setelah kau berjaya meredahnya. Aku ingin beritahu bahawa aku bahagia. Dan terima kasih atas segala doa yang kau pesan lewat sujudmu. Bagaimana aku tahu? Ah, aku yakin kau adalah dirimu lima tahun lalu. Kau seorang pemaaf manakala aku seorang pemungkir. Hello, kau masih di sana? Aku kini berharap berat, terus simpan hukumanmu padaku. Kerana kehadiran kita sememangnya adalah untuk melengkapi. Agar kau dan aku cermin kebodohan kita masing-masing. Adil, bukan? Dan bunyi talian terputus di hujung sana. 

Andy dan Tia - Lencana jiwa

Hari ini, Andy benar-benar teruja untuk ke tempat kerja. Biar melawan tabiat, Andy memang teruja. Hakikatnya, dia mahu berjumpa Tia seperti semalam. Wanita itu kekal jelita, seperti 4 tahun lalu. Ketika itu, Tia pasti dengan baju labuh potongan A dan kadangkala menyemak kertas dengan pen merah di dalam keretapi sesak manusia. Oh! Pandangan menghujani jiwa. Jika tidak kerana pakaiannya dahulu, dia pasti sedia menegur guru muda itu billa-bila masa sahaja. Namun pada waktu itu, saat lencana sekolah masih tersemat di dada, Andy tidak berani. Semalam, Tia duduk lagi di hadapannya di dalam keretapi. Maka Andy nekad. Dia mahu mengenali hati wanita itu, biar nanti ditolak atau diherdik. Andy pantas bersiap. Dia tidak akan lepaskan keretapi jam 7 pagi itu.

Andy dan Tia - rakaman hati

“Cerita ini khas untukmu,” dia memulakan bicara. “Aku petik sebuah gambar yang paling indah melalui mata dan aku rakamkan di dalam hati. Gambar seorang gadis berbaju kurung merah jambu sedang duduk menaip di sebuah kedai kopi moden. Dapatkah kau bayangkan betapa cantiknya pemandangan itu di kota metropolitan ini?” Aku tersenyum dalam hati. “Tidakkah kau mengakui kejelitaannya di hadapannya? Biar dia bahagia.” Aku sengaja menebak. “Ah, aku takut. Bukankah kau tahu bahawa kata pujiku telah aku nazarkan pada dia yang kupilih nanti?” Aku hanya tersenyum lagi. Biar dia makan kata-katanya sendiri.

Andy dan Tia - Bebel Bangku Kayu

Berhenti merenungku. Aku tahu kau kehilangannya sejak sepurnama yang lalu. Bagaimana aku tahu? Ah, segalanya terpalit di matamu. Mata itu tidak pernah berbohong. Dan ia sedang berbicara denganku. Kau masih belum bertemu pengganti, ya? Maaf kerana aku tanyakan soalan bodoh itu. Mengapa aku bertanya? Kerana kau tidak pernah betah melihatku seorang diri. Pastinya kau sentiasa bersama dia yang mencicip kopi dingin. Kau menafi? Sudah berapa kali aku katakan, mata itu tidak pernah membohongi aku. Keberadaannya sentiasa kau dambakan. Maka hari ini aku lihat kau sendiri memakai mata lesu itu. Maaf, itu mata rindu. Haha. Kau menafi lagi. Sesungguhnya kau tidak dapat menyembunyikan rasa itu daripada renungan nihilmu. Tia jengkel lalu meninggalkan kerusi kosong itu.

Andy dan Tia - Cerita dalam gerak

Kau di pintu kiri keretapi, aku di kanannya. Lalu kita biarkan hati berbicara. Kau: Aku berharap berat bahawa pandangan kita adalah perdamaian. Aku: Ah, kau terlalu ego. Hanya kerana aku memungkiri harimu, maka kau membulatkan hati untuk memalingkan suaramu? Aku menjeling. Kau menurut selang beberapa detik. Kau: Kau kekal berpaling? Kau adalah lelaki ego. Aku: Sementara kau menyangka dirimu adalah wanita pemberani. Pintu keretapi terbuka lagi. Kau keluar. Aku kekal memalingkan mata, menurut langkahmu kali ini.

Andy dan Tia - Perpisahan

Andy masih terlekat pada bangku kayu itu. Bayangan mentari terasa terlalu awal untuk menemani. Sunyi tempat itu lebih perit daripada kata-kata Tia sebentar tadi. Kata-kata yang tidak disangka akan terlepas daripada bibir mulus kekasihnya. Tajam, setajam belati yang kejam menyobek pelangi di langit pagi. “Izinkanku memungkir keikhlasanmu mencintaiku.” Ibarat tayangan filem rosak, segala senario tadi bermain ligat dalam kepalanya. Berulang-ulang. Sakit kepalanya seperti digoncang keras untuk menerima kenyataan. Maka tinggallah Tia, yang tidak mungkin ditemui lagi selamanya bersama keizinan yang berat untuk diungkapkan. “Izinkanku memungkiri keikhlasanmu mencintaiku.”