Skip to main content

Posts

teratak terasa sunyi walau nada pukulan badai terdengar hebat. chempaka sendiri. aduh... mungkin chempaka suka bersendiri. atau mungkin chempaka memang sentiasa sendiri. ah! biar pada apa jua madahnya. chempaka gembira dengan diri sendiri. hairan juga apabila diadukan pada hati. ternyata hati sendiri tidak mengerti. chempaka merasa indah berteman sendiri. segalanya boleh digapai, tiada yang membendung. musykil pada diri? benarkah begini? buat masa sekarang, iya! chempaka seru dalam sendiri. sendiri membebaskan diri! maka satu harapan chempaka: mahu jadi yang terbaik! persetan pada suara sumbang menentang diri! chempaka mahu di atas. di atas. ATAS. kesungguhan kunci segala kemungkinan. itu yang chempaka pegang, itu yang chempaka percaya. dengan itu, sendiri membantu chempaka untuk berada di atas. makanya, chempaka gembira dengan diri sendiri.
puspita tunduk sayu. salah benar rasanya diri ini. mahu diterus terang pada sang andika. ah! sememangnya diri ini bersalah, tapi bagaimana ya harus puspita suarakan segalanya? tahu benar andika bakal naik berang padanya. ah! tapi bagaimana? puspita takut. ternyata merpati putih menjadi dalang segalanya. sengaja mahu meruntuhkan kota kasmaran binaan puspita dan andika. akhirnya puspita dibiarkan diselubungi rasa bersalah. sedangkan andika... iya, andika pasti bermurung. duga puspita, andika menyedari. namun bagaimana? puspita tidak tergamak melukakan sesiapa pun termasuk andika. kemudian, baru tersedar puspita. ANDIKA yang memulai segalanya. langkah puspita untuk memerhatikan langkah andika. mau dijaguh? boleh saja. biar luka kita bersama...
mungkin puspita sari masih dirudung walang, entah apa pada musykilnya. langit kelam semenjak saat ini. sudah diminta ashabul akrab menemani, ternyata walang puspita masih tersisip kemas dalam nubari. bagaimana harus puspita lemparkan pedih ini dari sukma diri? buang jauh-jauh, bisik akal yang selalu menasihati. iya, puspita akur pada itu. namun entah mengapa pedihnya masih terasa walhal luka tidak pernah pun terpalit. engkau hairan? puspita juga tidak mengerti. mungkin Dia lebih mengerti. ataupun Dia sebenarnya menunjukkan jalan yang terbaik. kaki ini sudah siap untuk berlari. laju, laju dan laju dari semua ini. namun jika dipilih untuk berlari, pasti gari emas itu setia menemani. jadi jadikah pelarian itu pelarian? tidak sabar menunggu sepurnama lagi. doanya mahu hanya Dia menemani. ternyata Jodoh ada di mana-mana, menurut Rabiatul Adawiyah. ya Jodohku, tunjukkanlah diriku jalan yang lurus, pinta puspita seikhlas hati.
adapun pantai pulau belakang mati agak sunyi. biar, chempaka suka akan ini. alunan ombak tidak sebuas selalu. nyata chempaka lebih suka menyendiri. layar nakhoda jauh entah di mana perginya. merpati putih setia menemani. malah jentayu juga dikhabarkan bakal kembali. sejujurnya, chempaka lebih nyaman berteman merpati dan jentayu. keduanya menurut, malah menghibur. biarkan layar nakhoda menyeberang laut ganas. buktikan kesatriaanmu wahai sang nakhoda. chempaka? iya, sudah dibilang, chempaka gemar bersendiri. jentayu dan merpati ashab tika suka dan duka. tidak pernah membenci apatah lagi menyakiti. adakah ini bermakna nakhoda pernah menyakiti? bukan, bukan itu maksud chempaka. adalah merpati dan jentayu lebih mengenali chempaka lebih dari semuanya. akhirnya, chempaka mau berteman dalam menyendiri.
orang mengail umpan kak kedek, tumbuk tepung di dalam perahu; tambatan kasih sesama cerdik, habis sekampung orang tak tahu. ~a. kadir adabi 1988:212~
Bintang -bintang yang berhamburan cahayanya di langit itu memandang kepada keduanya sebagai menumpang bersukacita dan berbesar hati dengan nikmat-nikmat pertambatan cinta berahi anak-anak Adam yang muda belia yang sedang berjalan di jalan raya yang sunyi itu, maka pada masa itulah Encik Abdul Rahman memandang kepada langit sambil berkata: "jikalau sekiranya mengetahuilah bintang-bintang itu akan kandungan hati kita pada masa ini, nescaya tidaklah ia menyerukan malam yang sunyi ini kepada bersegera-segera mendatangkan cahaya matahari membalikkan masa yang penuh dengan rahmat kepada siang yang mewajibkan kita berasing sementara kerananya" (A. Kadir Adabi 1988: 126)
sudah sekian lama puspita tidak berpuisi. entah pada purnama mana akhir puisi dilagu. malam sunyi menjadi teman. biar alun bayu berbisik puisi, melawan ganas ombak pantai. Terima kasih rembulan terima kasih rembulan suci peneman sendu dalam nubari jauh cintaku belayar pergi mahu dikejar, ternyata kaki digari sudah diseru kuda sembrani penawar dicari rawan di hati terima kasih rembulan manis ternyata merah terlalu bengis duduklah puspita dalam tangis nubari pedih bak dihiris sedar harapan jelas tipis penantianku ini takkan terhakis sampai kapan pun tidakkan habis terima kasih rembulan penuh jadikan penantian ini tiada jenuh mengubat hati sebelum lumpuh yakin kasihku ini terlalu kukuh ah! ku terdengar laungan guruh biar ku mencari tempat yang teduh akan ku ke sini lagi menjelang subuh demi menanti sekujur tubuh ingin ku lena dalam dakapan teguh kasih yang ku nanti dalam jauh ilham uyaisha ~ 2009