Skip to main content

Posts

sekian lama tidak menumpang bicara. bukan tiada, tetapi kosong. kisah yang satu sudah lama tertutup. mahu disambung cinta yang lalu. lagi bercanda dengannya mahu diteruskan ke mana kiranya. kasih yang pernah ditanam juga entah ke mana perginya. hairan pada diri sendiri. dahulunya melangit dipuji, alih-alih lenyap begitu sahaja. mungkin matang menguasai diri. ah! biar sahaja pada yang mendatang. Tuhan itu lebih mengetahui...
mahu berkisah apa pula ya kali ini? erm... punya rezeki yang berada di luar landasan destinasi. tidak mengapa. katanya hidup ini hanya sekali. hargainya! iya, chempaka sedang berindah dengan peluang yang satu ini. punya gugup di birai nubari. bagaimana jika semuanya semu cantiknya? takut! untuk memuaskan hati sendiri, sudah sendiri sifatnya. untuk memuaskan kalbu yang lain, wahid lagi zatnya. aduh... bagaimana ya? rasa-rasa, jika kata 'jika' terus bersarang dalam jemala, problema tak pernah habis. aduh... diri masih tidak henti ber'jika'....
terputik rindu untuk terus berkelana di mandala ini. apakan daya, diri diikat kemas, tidak sebebas beberapa purnama yang lalu. purnama yang lalu tetap indah. berbahgi kisah dan hikayat, ternyata chempaka punya cita yang merekah. baru berputik. wangi sekali. terus menelusuri yang ini pula. perlahan bertapak, dipanjat doa moga Dia merestui. didatangi pula mimpi-mimpi yang bercambah. adakala suka adakala lucu. terkesan pada sabda dari mahaguru, "Bermimpilah kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu" (Edensor)
saban hari, chempaka masih terngiang pada satria pujangga. kenapa begitu layaknya? ah! biarkan sahaja. pengorbanan tidak pernah diberi pilihan untuk keluar darinya selain menghadapinya ( Pesona Sandora ). iya, chempaka akur akan itu. maka dikuatkan tekad menempuh segala yang mendatang. tambahan pula, kerja memandikan merpati dan jentayu bikin chempaka terlupa tentang masa. baguslah begitu. namun melayan karenah jentayu dan merpati bermaksud menempuh sebuah lagi lawang duka. tidak mengapalah. ada ganjaran untuk semua jenis kesedihan dalam dunia ini.
kita lahir dengan dua mata di depan wajah kita kerana kita tak boleh selalu melihat ke belakang supaya kita memandang masa depan. kita dilahirkan dengan dua telinga di kanan dan kiri supaya kita dapat mendengar pujian dan kritikan dan memilih mana yang benar dan mana yang salah. kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita, sehingga tak peduli semiskin mana pun seseorang itu, kita masih kaya kerana tidak ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita dan fikiran kita. harga sebuah fikiran yang tersimpan dalam otak kita jauh lebih mahal daripada emas dan berlian. (Pesona Sandora 2010: 187)
kini baru chempaka sedari. rupanya jentayu yang berangkara. ah! kerana sang jentayu penyatu suara, maka chempaka dirudung kasmaran tidak terhingga. maka chempaka menyimpul, bahawa mahu dipanjangkan rajuk pada sang jentayu pula. agar segala cicitnya bisu cuma.
Puisi bukan saya Puisi bukan saya Yang mengalun kata nan pudar Yang membisik suara nan sukar Yang melempar fikrah nan samar Puisi bukan saya Lemas dalam cinta Igau dalam nestapa Runsing dalam gelora Puisi bukan saya Pencarian masih bermula Tangan dilepas, mahu penuntun segera Mohon jadikan Puisi itu saya