Skip to main content

Posts

diri dibalut beku turunnya rintik salju pantas berselimut selimut baldu diri membatu kaku muncul pula sang ratu khabarnya mampu membantu biar yang lain lipur ratu mengumpul kayu, lalu menyala sumbu hilang juga sendu datangnya hanya selalu pulang dingin berganti puyu ternyata singgah ini celaru terasa hari bertambah kelabu pilu sayu
terlalu rindu untuk bercerita. beginilah layaknya bagi mereka yang gemar berkisah. narasi suka dan duka bergabung untuk meniupkan semangat penulis. Chempaka berduka: pabila gering menumpang hinggap pada diri. terlalu perit, hingga terpaksa melupakan Cinta. lupa yang bersifat semu juga. tiada mungkin Chempaka melupakan cinta. cinta yang bikin Chempaka terus berkelana. moga cinta sentiasa lekat pada diri. Chempaka bersuka: bersua sama laksamana di ruang mimpi. maka dengan pantas mencari di realiti. tiada yang lebih, sekadar berbahgi rasa, berbahgi suka. semoga Chempaka juga terus bernarasi ya!
ada rengsa pada kisah berturut. sirah mengundang pilu tatkala mengenang bahawa ada yang lebih baik buat dirinya, bukan yang ini. namun mahu dilepas pada yang satu juga tiada terdaya. terlalu kasih pada bi'ah. tiada mahu diurai silah yang manis. namun ini bukan jalan yang patut. sedih kerana berturut dikerja suatu yang bukan selayaknya. mahu benar berlari, atau terbang, atau menyelam. kerana ini yang seharusnya. tiada mungkin seorang srikandi duduk menyanyi di tepian kali. namun itu yang terjadi. bagaimana ya Chempaka? pantang srikandi tiada berkorban. namun pencak dipaksa disimpan kemas. aduh... berat benar jika tiada berkongsi harta akhirat.
Chempaka: Indah sayang teacher tak? Indah: Sayang... Chempaka: Sayang sikit ke banyak? Indah: Banyak... Chempaka : Sayang sampai mana? Indah: Sayang sampai hati... Chempaka: Hati siapa? Indah: Hati INDAH! dan kami sama-sama membuang senyum.
mahu mencelah suara di dalam semak keriuhan. sedar bahawa cerita chempaka ini berdosa. biarlah. mahu bahagia sementara. benar-benar kepingin berkelana lagi. mahu diteroka seisi buana ilmu lagi. namun kaki diikat sendiri di sini. kaku anggota, berharap agar tidak beku jemala. oh! betapa dirindu saat-saat begitu. Cinta, hanya dia yang menyambung rindu pada sirah yang dahulu...
sepi benar bukan mandala ini? begitu juga sunyinya nubari Chempaka. masih mencari-cari Cinta. namun berjumpa juga dengan Suka, bukan Cinta. maka perncarian terus bergelora. akhirnya, Cinta dengan malu-malu menyingkap tirai hayat. gembira bersua dengannya kembali. oh... Cinta yang lama menyepi, terpaksa berkongsi cerita dengan Suka. mahu ditinggal Suka, namun simpati pada Kasih. ah! bagaimana ya? Cinta, terus kekal walau terpaksa dihimpit Kasih. Kasih, terus sinari penamat Sukaku. Suka, ku benar-benar berharap kau mengerti.
sebenarnya dia berbelah bagi, mahu di sini atau di sana sahaja. adakalanya tidak semua dapat dikisah. namun jika tidak, beratnya menanggung cuma Dia sahaja yang tahu. kisahkan tentang laksamana di sini ya. oh... laksamana punya irasnya dengan sang bunga. sebaliknya tersisip cerita yang harus kekal sepi. sepi juga tidak mengapa. berlagu lewat bayu tidak akan ke mana. itu pinta chempaka. iya, biar sepi. biar sendiri. Ah! maaf kerana chempaka sudah mesra dengan merpati. selesa bicara bersama. maka sebab itu chempaka juga sepi.