Skip to main content

Posts

Dan saya menulis lagi. Saya yang lebih gemar menulis daripada bersembang.  Dalam tulisan, saya dibukakan peluang untuk merancang. Beza dengan bercakap, peluang berfikir itu terlalu singkat. Saya sedar keselesaan saya ini berpunca sewaktu saya menulis kerja sekolah di universiti. Guru (saya lebih suka perkataan itu daripada penyelia atau pensyarah. Lebih memasyarakat) menekankan betapa saya harus mencintai perkataan dan memahami setiap perkataan yang saya gunakan hatta pada hal kata sendi. Kini, jika diminta untuk saya bercakap dengan panjang lebar, saya takut. Saya takut jika saya munafik pada perkataan sendiri. Maka ada undangan yang meminta saya untuk bercakap, saya tolak. Biarlah saya dikatakan pengecut atau hipokrit pada gelaran yang ada pada diri. Saya tidak mahu diperhitungkan di hari muka akibat kata-kata sendiri.
Mengapa kembali ke sini? Tanya hati. Entah. Tetapi sedarlah saya semakin matang dalam penulisan. Mengenang bentuk penulisan sendiri lewat diari, saya pernah menggunakan bahasa yang terlalu mudah hatta ia seolah-olah teh yabg tidak sempat ditapis. Saya rasa jijik pada tulisan sendiri tetapi tidak malu. Lagipun, tiada siapa yang akan membacanya! Tambahan pula, ia suatu proses pembelajaran. Setelah berada di alam universiti dan bercampur dengan lebih ramai orang, bahasa penulisan peribadi saya bertambah baik (oh, boleh ya memuji diri sendiri?). Saya lebih malu dalam berbahasa. Saya suka menulis dengan gaya berbunga. Adakalanya terlalu lebat hingga dirasakan seperti hutan bunian! Hari ini, saya masih menulis. Namun sudah ada perubahan daripada sebelumnya. Tidak lagi berbunga, lebih pada telus hingga masuk dalam jiwa. Seboleh-bolehnya, saya mahu pembaca merasai apa yang saya rasa. Oleh itu, tulisan saya kini tiada bebunganya kecuali lebih murni dengan tapisan rasa. Pastinya ia suatu tera...

Teman - Rindu tak tinggal

Antara bayang dan pelangi kau adalah keduanya indah tanpa tapak saat kita bicara tentang aksara yang menari di balik tudung kapas kita tanpa jejak serta kiraan masa lalu pisah lagi saat rembutan baru mengerdip kembali pada kepompong usrah esoknya kau tidak hadir lagi sampai semalam aku menanti dan hari ini belum habis maka harapku memanjat ke langit semoga Tuhan memeluk doaku agar kau menari dalam hujan kerana titisnya adalah kalimah doaku yang aku titip saat mentari menangis kerna kecewa atas kesendirian lalu habis waktuku dengannya semoga esok aku tidak lagi berkata ‘pernah’ dan kau pun hadir dalam lencun doa-doaku.

Rindu tak tinggal

Pernah kau dengar kompromi karat pagar besi dan desir daun bersatu dengan angin pagi? Itulah aku pada waktu ini yang membuka kembali lawang ini. Kembali pada mandala ini, ada seribu kebersalahan menghurung diri. Pertama, aku hanya kembali setelah beberapa purnama menyepi. Ibarat kekasih yang hilang setianya, aku kembali memungut cerita yang sengaja aku tinggalkan tanpa bukti. Ah! Cerita klishe seorang pencinta yang dikeji oleh penyair. Malah kini aku membuktikannya. Munafik! Kedua, jauh di pojok hati, aku mahu memulakan yang baru untuk segalanya. Aku mahu kembali menjadi Chempaka lalu pindah ke mandala lain. Sekali lagi; betapa rendahnya tahap kesetiaanku sebagai pencinta! Mandala ini adalah ruang pertama di mana aku mula belajar menari. Dengan kiraan tapak serta lengguk tangan, akhirnya aku mampu berdansa dengan aksara yang manis belaka. Ya Rabb, kembalikan ketulusan hatiku. Pada bunda dan kekanda yang sentiasa bersabda atas ketekalan diri, aku mohon maaf. Bukan niat he...

Surat kepada Aksara

Ke hadapan Aksara, Adapun karanganku ini Berisi kelopak cerita Aku yang dahulu nihil rasa Bertukar buta Aksara Saat kau susun gelung-gelung nada Pada jari manis berbentuk cinta Kau dobrak atma Aku terkesima Lewat pertemuan rasa Kau dan aku bercinta Kau cipta janji seribu wajah Pada ukiran bait meranum pesona Aku yakin pada rupa Aksara yang membunga Tapi tatkala Cintaku sembunyi sebentar cuma Kau hilang sengaja juga Berdirilah aku di cabang antara Gembira dan nestapa Entah siapa dalangnya Tenggelam punca Aksara Pada detik itulah Kita atur sapaan semuka Dan berjumpa di titik mula Susun kembali gelung nada Sehingga masih aku terima Cinta Luarbiasa Agar cinta mewangi mandala Hatiku milikmu setia Yang benar Bahagia, Bunga. ChemAizim 19.10.2014

Andy dan Tia - Rindu tak tinggal II

Kadangkala, Rindu datang bersama hujan. Apabila musim, luruhlah tanpa ihsan Namun sering Hujan juga ubatnya Kerana suara yang memanggil Akan tenggelam di balik guruh Maka terlepas rindu Sebelum ia kembali lagi Pada musim tengkujuh ChemAizim

Andy dan Tia - Masih Aku Cinta

Jemari Andy bergerak mengikut rentak yang tersusun. Di tangan kanannya, telefon tangan terpasang dengan papan kekunci di layarnya. Andy kumpul kudrat, lalu mendail nombor yang lima tahun tidak diramahnya. Bunyi deringan di hujung talian terhenti tiba-tiba. Andy: Kau di sana, bukan? Semalam aku terpandang dirimu di kotak sembang. Aku senyum sendirian. Aku tau yang baik-baik sahaja. Maaf jika suaraku ini meluap amarahmu beberapa tahun lepas, setelah kau berjaya meredahnya. Aku ingin beritahu bahawa aku bahagia. Dan terima kasih atas segala doa yang kau pesan lewat sujudmu. Bagaimana aku tahu? Ah, aku yakin kau adalah dirimu lima tahun lalu. Kau seorang pemaaf manakala aku seorang pemungkir. Hello, kau masih di sana? Aku kini berharap berat, terus simpan hukumanmu padaku. Kerana kehadiran kita sememangnya adalah untuk melengkapi. Agar kau dan aku cermin kebodohan kita masing-masing. Adil, bukan? Dan bunyi talian terputus di hujung sana.