Cenderawasih berpatah sayap sebentar. Titah dari yang berdaulat, nanti pada sang geroda. Bakal kamu terima penawarnya. Eh… tanpa disangka, muncul pula sang naga sembrani. Tangan dihulur, tanda pertolongan disuap. Maka cenderawasih mahu dalam malu. Kisahnya mudah, cenderawasih kerap bermain dengan sang naga sembrani. Apa kata geroda? Erm… mudah sahaja. Selagi geroda bermain di kayangan, bumi hina saksi semuka naga dan cenderawasih. Berdosakan cenderawasih? Bagai jawabnya. Geroda tidak berani turun ke bumi, sedangkan cenderawasih suka bermain di pinggiran tasik. Bukankah tasik tempat hinggap naga? Jadi, begitulah jadinya.
Andy: Aku rindukan kau, Tia. Tia: Jangan mengarut. Kita sering berbicara, bukan? Andy: Kau ingat ketika kita di universiti dahulu. Kau dan aku ditahan oleh pak pengawal kerana kita pulang ke kampus terlalu lewat. Jam 2 pagi jika tidak silapku. Aku terlalu cemas memandangkan kita pelajar tahun satu yang tidak dibenarkan memandu kereta peribadi dalam kawasan univerisiti. Namun kau keluar dari kereta kerana kau lihat aku sudah lama ditahan. Kau mahu memarahi pengawal itu tetapi ditahan olehnya kerana dia menganggap perbuatanmu sia-sia. Perbuatanmu tidak pernah sia-sia, Tia. Tia hanya ketawa kecil sambil berenang dalam lautan kenangan. Andy: Tia itu yang aku rindukan. Tia si pemberani, yang mampu bersuara atas nama keadilan. Gadis penentang pada kehendak sekeliling. Tia senyum lalu membaling pandang ke luar jendela. Mungkin Tia yang dahulu juga sudah lama tidak ditemui oleh dirinya sendiri. Mungkin segalanya sudah diserap oleh satu kekuasaan yang bernama kematan...