Skip to main content

Posts

Andy dan Tia - Masih Aku Cinta

Jemari Andy bergerak mengikut rentak yang tersusun. Di tangan kanannya, telefon tangan terpasang dengan papan kekunci di layarnya. Andy kumpul kudrat, lalu mendail nombor yang lima tahun tidak diramahnya. Bunyi deringan di hujung talian terhenti tiba-tiba. Andy: Kau di sana, bukan? Semalam aku terpandang dirimu di kotak sembang. Aku senyum sendirian. Aku tau yang baik-baik sahaja. Maaf jika suaraku ini meluap amarahmu beberapa tahun lepas, setelah kau berjaya meredahnya. Aku ingin beritahu bahawa aku bahagia. Dan terima kasih atas segala doa yang kau pesan lewat sujudmu. Bagaimana aku tahu? Ah, aku yakin kau adalah dirimu lima tahun lalu. Kau seorang pemaaf manakala aku seorang pemungkir. Hello, kau masih di sana? Aku kini berharap berat, terus simpan hukumanmu padaku. Kerana kehadiran kita sememangnya adalah untuk melengkapi. Agar kau dan aku cermin kebodohan kita masing-masing. Adil, bukan? Dan bunyi talian terputus di hujung sana. 

Andy dan Tia - Lencana jiwa

Hari ini, Andy benar-benar teruja untuk ke tempat kerja. Biar melawan tabiat, Andy memang teruja. Hakikatnya, dia mahu berjumpa Tia seperti semalam. Wanita itu kekal jelita, seperti 4 tahun lalu. Ketika itu, Tia pasti dengan baju labuh potongan A dan kadangkala menyemak kertas dengan pen merah di dalam keretapi sesak manusia. Oh! Pandangan menghujani jiwa. Jika tidak kerana pakaiannya dahulu, dia pasti sedia menegur guru muda itu billa-bila masa sahaja. Namun pada waktu itu, saat lencana sekolah masih tersemat di dada, Andy tidak berani. Semalam, Tia duduk lagi di hadapannya di dalam keretapi. Maka Andy nekad. Dia mahu mengenali hati wanita itu, biar nanti ditolak atau diherdik. Andy pantas bersiap. Dia tidak akan lepaskan keretapi jam 7 pagi itu.

2182 - Rindu tak tinggal

Kata-kata telah ku bariskan  namun tawar kisahnya  hinggalah kau hadir  menabur gula pada rasa yang hakikatnya hilang. *   *   * Cuba hadirkan  satu telefon pintar buat kupesan doa dan rasa rindu yang tak tinggal *   *   * Mungkinkah riuh kota yang tidak tidur saban malam menyelit pesanmu masih aku lihat lewat mimpi kata rindu tak tinggal?

2182 - Dengan sisa rasa kelmarin

Pagi berawal ripuh Suara motokar memugar jendela Lalu ku buka diari Umpama nyanyian serunai Apabila suaramu bertala  Mendobrak ruang persegi empat Yang bingar dengan rasa Sejak malam kelmarin

Andy dan Tia - rakaman hati

“Cerita ini khas untukmu,” dia memulakan bicara. “Aku petik sebuah gambar yang paling indah melalui mata dan aku rakamkan di dalam hati. Gambar seorang gadis berbaju kurung merah jambu sedang duduk menaip di sebuah kedai kopi moden. Dapatkah kau bayangkan betapa cantiknya pemandangan itu di kota metropolitan ini?” Aku tersenyum dalam hati. “Tidakkah kau mengakui kejelitaannya di hadapannya? Biar dia bahagia.” Aku sengaja menebak. “Ah, aku takut. Bukankah kau tahu bahawa kata pujiku telah aku nazarkan pada dia yang kupilih nanti?” Aku hanya tersenyum lagi. Biar dia makan kata-katanya sendiri.

Andy dan Tia - Bebel Bangku Kayu

Berhenti merenungku. Aku tahu kau kehilangannya sejak sepurnama yang lalu. Bagaimana aku tahu? Ah, segalanya terpalit di matamu. Mata itu tidak pernah berbohong. Dan ia sedang berbicara denganku. Kau masih belum bertemu pengganti, ya? Maaf kerana aku tanyakan soalan bodoh itu. Mengapa aku bertanya? Kerana kau tidak pernah betah melihatku seorang diri. Pastinya kau sentiasa bersama dia yang mencicip kopi dingin. Kau menafi? Sudah berapa kali aku katakan, mata itu tidak pernah membohongi aku. Keberadaannya sentiasa kau dambakan. Maka hari ini aku lihat kau sendiri memakai mata lesu itu. Maaf, itu mata rindu. Haha. Kau menafi lagi. Sesungguhnya kau tidak dapat menyembunyikan rasa itu daripada renungan nihilmu. Tia jengkel lalu meninggalkan kerusi kosong itu.

2182 - Sajak Wangi kepada Jebat

Pandang rembulan itu Yang melihat aku dan kamu Satu ketika dahulu Berkait buana kita bertemu Lalu kasmaran mula bersatu Ah, itu cerita dahulu Pandang rembulan itu Yang melihat dia dan kamu Dan genang airmataku Di balik tirai beradu Yang sering kau titipkan lewat bayu Sungguh aku yang satu Dan rasa itu yang sering kau seru Pandang rembulan itu Yang melihat dia dan kamu Yang mengumpul senyum simpuh Atas puas yang kau temu Atas kesumatmu pada si musuh Yang bersultan di kalbu Kau lemparkan amarah demi abangmu Pandang rembulan itu Pandang pula keris yang kau hunus Di dada-dada dayang si ratu Setelah manis mereka kau rempuh Pandang pula padaku Yang menatang setia nan padu Padamu wahai kandaku Biar rasaku berwangi gaharu Dengan janji yang tepu "Di telapak tanganlah kuburku Sekiranya kau mati di hujung kuku"