Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.
"Kau wanita yang paling berbeza." Jemari Andy masih bermain dengan kamera kecil yang baru dibelinya. Katanya, kamera buat mainan. Suka-suka. Fikirannya masih tentang Tia walaupun matanya sudah terpikat pada struktur Hawa Mahal di hadapannya. "Apabila wanita lain petah memuji cantiknya gunung-gemunung dibalut salji, banjaran yang menelan mentari kau memilih untuk memuji bangunan ciptaan manusia. Kau menentang kebiasaan." "Bukan aku yang menentang biasa, aku cuma menjadi yang biasa. Biasa bagi diriku dan dirimu, insan-insan yang hidup diapit belantara batu bata. Lagipun, bukankah ciptaan bangunan itu lebih indah? Kau fikirlah. Keindahan alam itu terlalu murni sifatnya kerana ia tercipta langsung daripada Tuhan. Bangunan pula.. Ya seperti bangunan di depanmu ini lebih indah kerana hadirnya tidak langsung daripada Tuhan, tetapi melalui proses penaakulan insan yang dipilih olehNya. Terlalu banyak kita boleh bersoal tentang sebuah bangunan hinggakan ...