Skip to main content

Posts

Showing posts from September, 2013

Andy dan Tia - rakaman hati

“Cerita ini khas untukmu,” dia memulakan bicara. “Aku petik sebuah gambar yang paling indah melalui mata dan aku rakamkan di dalam hati. Gambar seorang gadis berbaju kurung merah jambu sedang duduk menaip di sebuah kedai kopi moden. Dapatkah kau bayangkan betapa cantiknya pemandangan itu di kota metropolitan ini?” Aku tersenyum dalam hati. “Tidakkah kau mengakui kejelitaannya di hadapannya? Biar dia bahagia.” Aku sengaja menebak. “Ah, aku takut. Bukankah kau tahu bahawa kata pujiku telah aku nazarkan pada dia yang kupilih nanti?” Aku hanya tersenyum lagi. Biar dia makan kata-katanya sendiri.

Andy dan Tia - Bebel Bangku Kayu

Berhenti merenungku. Aku tahu kau kehilangannya sejak sepurnama yang lalu. Bagaimana aku tahu? Ah, segalanya terpalit di matamu. Mata itu tidak pernah berbohong. Dan ia sedang berbicara denganku. Kau masih belum bertemu pengganti, ya? Maaf kerana aku tanyakan soalan bodoh itu. Mengapa aku bertanya? Kerana kau tidak pernah betah melihatku seorang diri. Pastinya kau sentiasa bersama dia yang mencicip kopi dingin. Kau menafi? Sudah berapa kali aku katakan, mata itu tidak pernah membohongi aku. Keberadaannya sentiasa kau dambakan. Maka hari ini aku lihat kau sendiri memakai mata lesu itu. Maaf, itu mata rindu. Haha. Kau menafi lagi. Sesungguhnya kau tidak dapat menyembunyikan rasa itu daripada renungan nihilmu. Tia jengkel lalu meninggalkan kerusi kosong itu.

2182 - Sajak Wangi kepada Jebat

Pandang rembulan itu Yang melihat aku dan kamu Satu ketika dahulu Berkait buana kita bertemu Lalu kasmaran mula bersatu Ah, itu cerita dahulu Pandang rembulan itu Yang melihat dia dan kamu Dan genang airmataku Di balik tirai beradu Yang sering kau titipkan lewat bayu Sungguh aku yang satu Dan rasa itu yang sering kau seru Pandang rembulan itu Yang melihat dia dan kamu Yang mengumpul senyum simpuh Atas puas yang kau temu Atas kesumatmu pada si musuh Yang bersultan di kalbu Kau lemparkan amarah demi abangmu Pandang rembulan itu Pandang pula keris yang kau hunus Di dada-dada dayang si ratu Setelah manis mereka kau rempuh Pandang pula padaku Yang menatang setia nan padu Padamu wahai kandaku Biar rasaku berwangi gaharu Dengan janji yang tepu "Di telapak tanganlah kuburku Sekiranya kau mati di hujung kuku"