Skip to main content

Posts

Showing posts from September, 2017

Andy dan Tia - Pentas

"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja. 

Andy dan Tia - Alegori Sepi

"Aku sentiasa bermimpi untuk melayarkan sebuah perahu kertas." Tia hanya memandang wajah Andy. Walapun kurang faham akan maksud lelaki itu, dia hanya mengutus soalan lewat pandangan mata. Harap-harap dia mengerti. "Perahu kertas ialah lambang pada impian yang rapuh, tetapi dijaga kemas agar tidak reput sebelum sempat bertemu permukaan air. Perhubungan antara insan juga sama, Tia. Ia nampak kental pada zahirnya, namun jika tidak dijaga rapi, ia memakan hati sendiri." Andy mengulang analogi yang pernah disebutkan pada Tia sebelum ini. Tia cuba menebak dalam pada menyusun peristiwa-peristiwa dalam hidup lelaki itu; tetapi tiada sampai hatinya untuk mencuit fikiran sebegitu. "Kenapa tidak kau lakukannya sekarang? Kau masih membina perahu kertas itu?" Soalan Tia dibalas dengan senyuman dan genangan mata yang paling dalam ke arah laut biru yang terbentang di hadapan mereka. "Bagaimana kalau aku menjadi saksi kepada karamnya perahu kertas y