Skip to main content

2182 - Sajak Wangi kepada Jebat


Pandang rembulan itu
Yang melihat aku dan kamu
Satu ketika dahulu
Berkait buana kita bertemu
Lalu kasmaran mula bersatu
Ah, itu cerita dahulu

Pandang rembulan itu
Yang melihat dia dan kamu
Dan genang airmataku
Di balik tirai beradu
Yang sering kau titipkan lewat bayu
Sungguh aku yang satu
Dan rasa itu yang sering kau seru

Pandang rembulan itu
Yang melihat dia dan kamu
Yang mengumpul senyum simpuh
Atas puas yang kau temu
Atas kesumatmu pada si musuh
Yang bersultan di kalbu
Kau lemparkan amarah demi abangmu

Pandang rembulan itu
Pandang pula keris yang kau hunus
Di dada-dada dayang si ratu
Setelah manis mereka kau rempuh

Pandang pula padaku
Yang menatang setia nan padu
Padamu wahai kandaku
Biar rasaku berwangi gaharu
Dengan janji yang tepu
"Di telapak tanganlah kuburku
Sekiranya kau mati di hujung kuku"

Popular posts from this blog

Ikhlas. Seni. Penyair. Tiga kata ini yang sering bermain dalam jemala. sejauh mana Chempaka berikhlas? dalam menyubur seni? mendabik dada sebagai penyair? ah... diri masih malu untuk mengakui segalanya. sudah saban purnama diri mahu mengundur. mungkin selayaknya Chempaka sekadar sang perwara yang menjenguk di balik tirai rendang reranting hutan. yang jelas, diri tidak tetap di sini, tidak pula di sana. malu benar mahu mengakui segalanya. kini diri hanya mahu mengakui yang satu sahaja, sekadar seorang embuai yang masih berguru pada yang tahu. itu sahaja. tidak mahu lagi berlebih. malangnya, pasti suara-suara di luar taman larangan yang akan berkicau senda. aduhai... fahamilah. Chempaka lebih suka begini. biar tinta yang mewakili suara sepi diri.
cenderawasih burung kayangan, tuanku putih kilau keemasan. pandanglah hamba si gagak hutan, sebelah mata pun hamba tak terkilan. sebenarnya diri ini musykil, samada aku yang menjadi cenderawasih atau si gagak hutan? namun jauh di lubuk hati, aku begitu yakin bahawa aku adalah sang cenderawasih yang menagih cinta dari si gagak hutan. hahaha, sungguh diri ini kejam. aku tidak sanggup turun takhta demi memuja dia yang menjadi idaman hati. maka jelas sekali aku adalah sang cenderawasih, burung kayangan.
daniel. seorang adik sepupu. begitu comel dia meletakkan dahinya di atas jubin lantai dar nya. hati ini akan pasti tersentuh dengan melihat keletah si comel 1 tahun ini. ah.. rindu pada kota singa dan keluarga semakin terus membuak.