Sesungguhnya aku tidak mengerti kenapa diri dijauhi. Rasa bersalah menapak di dada. Kenapa? Aku sendiri menjawab diam. Dia membisu, begitu juga aku. Bilang sahaja padaku.. tiada salahnya. Jika benar aku telah melukakan hatinya, kenapa tidak dia berterus-terang sahaja? Yang penting, aku sudah hidangkan kekata ampun. Hanya tinggal urusan dia dan DIA sahaja..
Tia benar-benar marah pada Andy. Tia bingit. Tia sakit hati. Suaminya itu kini membatu kaku, langsung tidak berani menyorot mata lahap isterinya. Apa yang cuba dilakukan hanyalah untuk memberi kejutan yang paling istimewa buat isterinya. Kejutan itu bukan sahaja untuk isterinya, malah dihadiahkan sekali pada putera di dalam kandungan isterinya. Dia tahu dia sudah membuat kerja gila. Mungkin lebih gila daripada perkataan gila! Aroma daging bakar yang duduk di hadapan pasangan itu menerobos hidung yang sedang kembang-kempis. Hajat Tia yang mengidam telah segera ditunaikan oleh Andy. Namun sekarang dia yang keras dimarahi. Andy seolah-olah meminta simpati pada sahabat setianya, roda pembentuk tembikar yang mengintai di luar rumah. Hanya itulah sahabatnya yang mengetahui isi hati Andy selama ini. Tanah-tanah liat di samping roda tersebut pula adalah aksara yang menceritakan segala tentangnya, termasuklah kisah cinta antara dirinya dan Tia. Kini roda itu juga kelihatan seperti ...