gambar ini dirakam lewat kamera telefon tangan sewaktu hinggap di teratak nenda. sang merpati merenung estet Bedok, memikirkan mana halanya selepas itu. dari tingkat 13, ia seperti raja segalanya. ia mampu melihat apa sahaja dari sudut ini. andai aku sang merpati, ingin sekali aku meneroka dunia. tambahan pula keberanian disemat waktu aku bersendirian di bumi orang ini. aku yakin, suatu hari nanti, aku juga mampu seperti sang mergastua itu. terbang ke sana sini tanpa sebarang resah dan takut berkecamuk dalam sanubari..
Tia benar-benar marah pada Andy. Tia bingit. Tia sakit hati. Suaminya itu kini membatu kaku, langsung tidak berani menyorot mata lahap isterinya. Apa yang cuba dilakukan hanyalah untuk memberi kejutan yang paling istimewa buat isterinya. Kejutan itu bukan sahaja untuk isterinya, malah dihadiahkan sekali pada putera di dalam kandungan isterinya. Dia tahu dia sudah membuat kerja gila. Mungkin lebih gila daripada perkataan gila! Aroma daging bakar yang duduk di hadapan pasangan itu menerobos hidung yang sedang kembang-kempis. Hajat Tia yang mengidam telah segera ditunaikan oleh Andy. Namun sekarang dia yang keras dimarahi. Andy seolah-olah meminta simpati pada sahabat setianya, roda pembentuk tembikar yang mengintai di luar rumah. Hanya itulah sahabatnya yang mengetahui isi hati Andy selama ini. Tanah-tanah liat di samping roda tersebut pula adalah aksara yang menceritakan segala tentangnya, termasuklah kisah cinta antara dirinya dan Tia. Kini roda itu juga kelihatan seperti ...