Skip to main content

aku tidak boleh mengilhamkannya. sekali terimbas tentang dia, pasti dirinya akan menurutiku ke alam mimpi. dia.. seorang ustaz yang pernah mendidikku. teruja sekali untukku mencoretkannya di sini. sang ustaz ini menjadi rebutan di sekolah. wajahnya yang keanak-anakkan dapat menjerat nubari mana-mana anak gadis (walau usianya jauh lebih lanjut dariku). aku juga turut terpanah dengan auranya. sayang sekali, setiap kali pesonanya aku jamah, dirinya aku temui di alam mimpi. malangnya, segala mimpiku tentangnya senantiasa berbaur yang kurang enak (apatah lagi sebagai seorang ustaz). hingga adakalanya aku lari dirinya kerana terkesan dengan sebuah mimpi. lama dia tidak singgah dalam mainan tidurku. namun semalam dia muncul lagi. kali ini, dia lebih sopan. tiada yang buruk tentangnya aku gali dari mimpi semalam. ternyata hati ini masih terpesona pada auranya....

Popular posts from this blog

Andy dan Tia - Sang Penikam

  Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku.   Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.

Andy dan Tia - Tanah Liat dan Daging Bakar

Tia benar-benar marah pada Andy. Tia bingit. Tia sakit hati. Suaminya itu kini membatu kaku, langsung tidak berani menyorot mata lahap isterinya. Apa yang cuba dilakukan hanyalah untuk memberi kejutan yang paling istimewa buat isterinya. Kejutan itu bukan sahaja untuk isterinya, malah dihadiahkan sekali pada putera di dalam kandungan isterinya. Dia tahu dia sudah membuat kerja gila. Mungkin lebih gila daripada perkataan gila! Aroma daging bakar yang duduk di hadapan pasangan itu menerobos hidung yang sedang kembang-kempis. Hajat Tia yang mengidam telah segera ditunaikan oleh Andy. Namun sekarang dia yang keras dimarahi. Andy seolah-olah meminta simpati pada sahabat setianya, roda pembentuk tembikar yang mengintai di luar rumah. Hanya itulah sahabatnya yang mengetahui isi hati Andy selama ini. Tanah-tanah liat di samping roda tersebut pula adalah aksara yang menceritakan segala tentangnya, termasuklah kisah cinta antara dirinya dan Tia. Kini roda itu juga kelihatan seperti ...

Andy dan Tia - Pentas

"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja.