jemala sentiasa terukir ilham tatkala malam menyahut buana. puspita sari masih ditemani bayu gelita walau seperut teratak sudah melangkah ke alam mimpi. berteman kalbu yang pedih, puspita sari mengukir rasa pada pasir putih. mungkin merah terlalu garang, maka sang puspita menjadi sayu. tidak diketahui pada musykilnya..iya, puspita terlalu hiba. aduka pujangga memang bukan miliknya, namun sonder sekali mahu menerimanya. sang puspita terlalu hiba. ingin sekali dia berlari merentas samudera, melawan buas pawana. asalkan sakit di nubarinya lekas sembuh. lakrinya terlalu erat.. tangisan tersangat sepi. wahai puspita sari, buangkan aduka pujangga jauh-jauh dari jiwamu!
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.