tadi sang merpati berkirim khabar. puspita kemboja dikatakan akan tiba di pengkalan pagi esok. pelayaran puspita yang menurut desak bayu dicemburui arjuna. ingin sekali dia juga mengikut seru angin. malang, kakinya tidak mampu menapak jauh. maka setakat ini sahaja langkah arjuna. ah! cemburu arjuna jadinya. puspita beruntung benar nasibnya. ingin dijaguh, tidak mungkin terjadi. ternyata puspita lebih segalanya. sudah diadukan pada sang merpati. ia juga tidak mampu merawat rawan hati arjuna. dibisik untuk mencarikan penawar. ternyata merpati juga sedang mengembara, pulangnya ke sisi arjuna sekadar berpesan berita. pedih luka cemburu rupanya...
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.