terima kasih wahai guruku yang dikasihi. indahnya jika kata tersebut dapat diucap ulang saban hari pada yang empunya diri. entah mengapa, Cendana terlalu gembira bila ada pawana itu menampar di muka. iya, cekal sekali azam Cendana. kali ini bulat tekadnya. mahu digapai kejora tertinggi. itu impian, itu harapan. persetan pada iblis-iblis berhati kemalasan, putus asa dan sebagainya. kerana tekad Cendana jitu. kerana azam Cendana satu. mahu yang itu, maka usaha sedaya yang mampu. Ya Allah, bantu hambamu. terangi perjalanan ini, agar dapat Cendana genggam segalanya. ingat Cendana, USAHA DENGAN SEKUATNYA. 0.03 lagi jaraknya! maka itu, akulah....
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.