Sudah beberapa malam dia membiarkan buku itu tidak tersentuh. Malam itu, novel masih di atas meja. Antara novel dan Andy, masing-masing menenung antara satu sama lain. Lelaki itu merasa bersalah kerana ada sesuatu yang membuatkannya berhenti daripada menyambung telaahnya. Mukasurat 138. Iya, dia terhenti pada halaman tersebut. Puncanya, ada kesan kotor akibat ais krim. Suatu ketika dahulu, dia terlalu mencintai novel tersebut. Lewat petang, dia pasti akan singgah di pesisir pantai itu dan membaca sebelum matahari jatuh sepenuhnya. Pada waktu itulah, saat dia khusyuk pada muka surat 137, tiba-tiba ada sesuatu yang gugur ke atas bukunya. Jatuhnya pula di pertengahan mukasurat 138. Andy jadi marah, terlalu marah. Buku adalah kekasih yang sentiasa dibalut cintanya. Apatah lagi, yang mencacatkan kekasihnya adalah sepotong ais krim. “Maafkan saya,” suara seorang gadis memecah kesunyian pantai itu. Sekilas itu juga dia mengalihkan wajah dari novelnya. Ada seorang gadis di sisi memeg...