jika seringnya puspita beralun ke pesisir pantai, melagukan irama rindu, maka kali ini biar puspita berpesan sahaja lewat bayu yang menderu. rindu hati ini tidak terkira. iya, kepada kekanda indera. mahu dihantar kuda sembrani untuk menjemput kekanda pulang. namun kuda bergering, tidak tahu hala yang hendak dituju.
kekanda indera, adinda mahu khabarkan bahawa adinda diberikan sakti oleh nenda kebayan untuk beradu di rembulan. oh.. indah sungguh perasaan ini. walau kesaktian itu sebentar cuma, namun bahagianya adinda hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. sudah lama ia menjadi impian diri, akhirnya terkabul juga harapan suci. mungkin juga berkat Kitab Suci menjadi teman di kala sunyi, di kala kekanda jauh berkelana. sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. mahu sekali adinda berteman kekanda bermain di purnama murni. jika ihsan sang bayu menyampaikan pesan ini kepada kekanda, maka kembalilah dengan segera. bersama kita bertemu di purnama.