dan biarkan Chempaka berbisik kembali. purnama kian mengambang, bercampur yuda semu usai. tiba-tiba pawana ganas mendobrak seketeng maka si Chempaka jauh terpelanting. tiba-tiba juga sakit si Chempaka. ubati walang diri. Chempaka pantas menyepi. lebih baik bersunyi. apabila kian diri kembali, nah! suarakan ilham hati. akhirnya adinda mengerti. maaf itu kekata suci. biar diri kembali murni. harap kekanda juga mengerti...
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.