"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja.