pedati berkemudi perlahan. ada bibit gundah di hati Chempaka. mahu sahaja ketemu satria pujangga, dirinya diigau siang dan malam. teimbas jihad Siti Zubaidah. iya... sanggup berlagak pendekar demi suami tercinta. begitu agungkah asmara Chempaka? sunyi dicarik tapak kuda yang menarik pedati. adakalanya harus dibezakan antara kasih dan keinginan untuk memiliki. di sinilah jihad Chempaka terhenti. jawabnya nihil. gundah kian memuncak. debarnya tatkala sedar bahawa tapak kaki Chempaka bakal melewati tanah merah yang diinjak satria pujangga. udara yang dihirup hembus juga akan dikongsi bersama. maka tertawa kecil kini Chempaka. sudahlah tidak pasti akan jawapan soalan yang satu, mahu berlebih rasa pula kiranya. ah! bikin malu sahaja. namun jika benar ia hanya bohongan rasa, mengapa debarnya saban hari kian mengongkong atma?
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.