tadi keduanya hanya membatu. senyap menyelubungi mandala bertala tersebut. entah apa yang merasuk keduanya hingga kaki pantas membuka langkah. sang srikandi beralun ke pinggir, membiarkan si pendekar berserapah memuja miliknya. sang srikandi juga begitu kiranya, namun diucap sahaja ikut suara jiwa.
satu ketika, mata tajam kedua-duanya merenung sesama. sambil memanah dengan tenungan, kedua-dua berkitar-kitar membaca langkah lawan. sonder bicara, mereka sudah tangkis-menangkis, kilir-mengilir laksana pertarungan hebat antara sang cenderawasih dan geroda merebut gemala. gelanggang terus semarak walau tanpa restu Betara Guru Sang Persanta Nala. masakan pendekar mahu menyahut cabaran Hawa, sengaja mahu mencemar kesucian Gunung Wirama Pura. srikandi membiar sahaja. langkah mungkin canggung, tegak sumbang dirinya, tapi semangat kental berpaut. bukan mahu menjaguh, sekadar ingin menunjuk mencak.