aduh... mungkin dingin malam terlalu dingin. mulanya chempaka sendu. entah pada bayu berapi mana yang menyapa. terlalu garang lantas chempaka jadi sakit. mahu diturut mata yang mahu memujuk, ah satria muncul di balik jendela. senyum bersilih. namun akibat bayu yang kejam tadi, canda mereka suram. kembali chempaka dalam sendu. sebentar tetapi kuat hingga hampir hilang suluh jalanan. kemudian merpati pula membawa kalimah bapanda. sendu berkalih tenang. mentalah dititip pujian buat satria. seru dalam diri chempaka. berteman dengan yang budi ternyata tidak sia-sia. rupanya sendu alamat ketenangan dihargai.
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.