mahu mencelah suara di dalam semak keriuhan. sedar bahawa cerita chempaka ini berdosa. biarlah. mahu bahagia sementara. benar-benar kepingin berkelana lagi. mahu diteroka seisi buana ilmu lagi. namun kaki diikat sendiri di sini. kaku anggota, berharap agar tidak beku jemala. oh! betapa dirindu saat-saat begitu. Cinta, hanya dia yang menyambung rindu pada sirah yang dahulu...
Ikhlas. Seni. Penyair. Tiga kata ini yang sering bermain dalam jemala. sejauh mana Chempaka berikhlas? dalam menyubur seni? mendabik dada sebagai penyair? ah... diri masih malu untuk mengakui segalanya. sudah saban purnama diri mahu mengundur. mungkin selayaknya Chempaka sekadar sang perwara yang menjenguk di balik tirai rendang reranting hutan. yang jelas, diri tidak tetap di sini, tidak pula di sana. malu benar mahu mengakui segalanya. kini diri hanya mahu mengakui yang satu sahaja, sekadar seorang embuai yang masih berguru pada yang tahu. itu sahaja. tidak mahu lagi berlebih. malangnya, pasti suara-suara di luar taman larangan yang akan berkicau senda. aduhai... fahamilah. Chempaka lebih suka begini. biar tinta yang mewakili suara sepi diri.