malam isnin adalah malam rengsa. jelas di situ. maka Chempaka sentiasa menyisip harapan lewat tilawah, semoga segala urusan dilancarkan olehNya. sebenarnya rengsa berbaur kecewa. terlalu terkilan pada diri sendiri yang gagal menyampaikan hasrat sendiri. 'apa yang kamu mahukan, Chempaka?' nihil jawabnya. adakalanya apabila Cinta semakin jauh, diri jadi tidak keruan. tiada ruang mengadu, tiada ruang melepas amarah. jangan simpati pada Cinta, kerana ia mafhum bahawa akhirnya ia juga yang membawa bahagia... oh Cinta, maaf kerana tiada kita bertemu buat sekian lama kerana Tuhan menyimpan ilhamku dahulu sementara Kasmaran minta dimanja...
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.