bagaimana harus berkongsi rasa jika ternyata semuanya berbaur dan hilang dalam sekelip mata? suka bila ada yang menggembira, teruja bila ada yang mengajak, sedih bila muncul tanpa sedar. ah! segalanya berbaur. mahu diawalkan dengan sesuatu, kalimah terhenti pada Yang Maha Pengasih dan Penyayang. selanjutnya, sepi..... titik putih menghiasi lembaran suci. biar suka disimpan kemas, biar teruja dipeluk waras, biar sedih dibiar lemas. biar. biar. biar.
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.