benci sekali saat dinda tewas dalam berlawanan merebut ego. gemala berharga itu milik kita bersama. namun saat dinda mula mahu menunjukkan pencak, eh... kanda tiada! entahkan bertemu dengan Adi Putra untuk menambah kekebalan. walhal hal ini jarang berlaku antara kita. mungkin pertapaan dinda selama bermalam-malam menjengkelkan kanda lantas kanda juga memilih untuk menguatkan ilmu di dada. mungkin... seribu kemungkinan. jangan fikir dinda akan mengalah! lupakah kita sentiasa merebut hal yang sama sejak berpurnama lamanya? pukulan kanda membuat dinda mengumpul semula luka untuk dibalas suatu ketika kelak. bukan jahat juga niatnya, cuma serasa hanya dengan itu, kita menjadi kita!
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.