rupa-rupanya, kesatria adalah hiburan yang paling seru dalam hidup Chempaka. malah lebih menghiburkan daripada rengekan manuk yang sering mengubat sendu. pada mulanya dirindu, kemudian berkasih, lalu benci, akhirnya lucu. ternyata kesatria hanya topeng si lebai yang tidak dibuat-buat. oh! Chempaka menutup wajah. malu benar rasanya kerana pernah berkasih dengan pahlawan sepertinya. hakikat, kejantanan semu sifatnya. aduh! dipanjangkan kisah pada Suri. Suri membenci. disuruh patahkan silatuhrahmi. oh... bukan tidak mahu. dalam diam, kesatria adalah pemangkin semangat. tanpa dirinya, Chempaka sekadar si kembang cina. perjuangan lebih keras dengan adanya bongkak kesatria. biarlah... biar kesatria mencari gemala, mengubat sumbang kekudanya.
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.