sebenarnya para dayang juga hulubalang semakin jemu mendengar rintihan yang sama. malah diri sendiri bosan berulang rasa saban malam. bilakah segalanya akan berakhir? sekadar mahukan jawapan; mengapa segalanya terlalu pantas? apa yang diingini sebenarnya? malam ini, si pilu datang lagi. menyentap jiwa walau jauh di relung hati, Chempaka sudah meredha. si pilu ini sekadar meneman kerana pawana rindu yang memberi pesan padanya: jaga Chempaka! sudah melecet kaki berlari, pilu dan rindu semakin menyatu. redha yang membenteng juga tidak tertahan dirempuh. lalu bagaimana? apa yang kau mahukan? mahu berpencak? ah! sudah lama Chempaka bersedia. namun pantang srikandi memula cabar. ayuh... setia kuberteman mantera sebagai bekal, menanti kesatria datang ke gelanggang semuka!
Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku. Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.