Skip to main content

Andy dan Tia - Not Ungu dan Watikah Cinta

Sepak laju-laju. Itu yang difikirkan oleh Tia pada seminit yang lalu. Amarahnya menggelegak apabila not berwarna ungu itu terlepas begitu sahaja. Sekelip mata! Tidak disangka dia sanggup membiarkan not itu jatuh ke tangan orang lain sedangkan itu adalah lambang roh cintanya.

Dua Isnin yang lepas telah meraikan kejayaan Tia yang dapat berbual dengan Andy. Bermula dengan berganti khabar, kemudian cerita dan akhirnya ke nombor telefon. Tia rasa sungguh bahagia. Tidak disangka lelaki yang selama ini diintai di balik partition pejabatnya boleh menyapa dan menjadi begitu mesra. Bohong sekali jika Tia tidak mahu yang lebih dari sekadar persahabatan. Keselesaan yang dikongsi kedua-duanya harus dirai dengan ikatan kasih yang suci, itu impiannya. Harapan seluas buana, seagung maya.

Namun berita tiga hari yang lepas benar-benar menghempas pecah segala angan-angan yang telah dilakar. Andy, adi kencananya menghulurkan kad cinta. Oh! Namun bukan berisi luahan kasmaran; sebaliknya mengutuskan jemputan untuk meraikan mahligai yang mahu dibina.  Nafas Tia laksana tersekat di kerongkong. Perit. Air jernih di mata mahu memujuk, tetapi ditolak pantas memandangkan Andy terlalu bahagia berbahgi cerita.


Bagi menyambut kegirangannya, Andy mempelawa Tia untuk minum petang bersama. Pilihan mereka, sebuah kedai kopi moden. Walaupun Andy tidak bermesra dengan kopi, dia menghormati kegemaran Tia. Ah! Semakin berat kecewa yang terpalit dalam hati wanita itu. Saat membayar, Tia kekurangan wang $2. Maka dengan seluruh kegagahan seorang lelaki, Andy telah menghulurkan not ungu dari sakunya lantas melangsaikan bayaran. Setelah terjumpa not yang sama dari poket beg, Tia langsung menghulurkannya pada Andy. Namun dibalasnya dengan penuh kelelakian, iaitu lelaki yang selalunya tidak pernah merasa bersalah atas kesalahan yang salah, “Tidak mengapa. Biar kertas itu jadi watikah kasih kita.” Ah! Bisa...

Lima minit yang lalu, not ungu yang ditolak Andy itu terlepas ke tangan seorang tua yang menagih ihsan pejalan kaki. Tia agak kesal kerana hakikat not itu juga terisi hati dan perasaannya yang masih bercita-cita. Setapak, dua tapak, tiga tapak. Perasaan itu masih menurut belakang Tia seperti anak kecil yang memujuk ibunya yang menjauh. Pergilah wahai rasa, rayu Tia. Namun ia tetap menurut hingga menyelimuti Tia ke alam mimpi.


Popular posts from this blog

Andy dan Tia - Sang Penikam

  Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku.   Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.

Andy dan Tia - Pentas

"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja. 

Andy dan Tia - Suzuki Biru

Andy: Aku rindukan kau, Tia. Tia: Jangan mengarut. Kita sering berbicara, bukan? Andy: Kau ingat ketika kita di universiti dahulu. Kau dan aku ditahan oleh pak pengawal kerana kita pulang ke kampus terlalu lewat. Jam 2 pagi jika tidak silapku. Aku terlalu cemas memandangkan kita pelajar tahun satu yang tidak dibenarkan memandu kereta peribadi dalam kawasan univerisiti. Namun kau keluar dari kereta kerana kau lihat aku sudah lama ditahan. Kau mahu memarahi pengawal itu tetapi ditahan olehnya kerana dia menganggap perbuatanmu sia-sia. Perbuatanmu tidak pernah sia-sia, Tia. Tia hanya ketawa kecil sambil berenang dalam lautan kenangan.  Andy: Tia itu yang aku rindukan. Tia si pemberani, yang mampu bersuara atas nama keadilan. Gadis penentang pada kehendak sekeliling.  Tia senyum lalu membaling pandang ke luar jendela. Mungkin Tia yang dahulu juga sudah lama tidak ditemui oleh dirinya sendiri. Mungkin segalanya sudah diserap oleh satu kekuasaan yang bernama kematan...