Skip to main content

Andy dan Tia - Roket Kecil dan Rembulan Merah




Tia cuma diam sahaja di dalam bas. Kali ini sepatah apa pun tidak keluar dari mulutnya. Wajahnya pula masam mencuka sepanjang perjalanan. Pandangan dilemparkan jauh-jauh, mencari salji di musim panas.

Tiba sahaja di hadapan rumah, Tia berlari dikejar angin lalu masuk ke dalam rumah. Pantas sekali. Beg sandang berisi buku sekolah dicampakkan ke dalam kamar. Baju sekolah tidak bersalin. Cuka di wajahnya masih tetap terlekat. Tidak ada jalan lain untuk menghilangkannya. Dia harus segera mencari diari.

Dengan pantas, dia ke belakang rumah. Roket kecil yang dibina oleh ayahnya melambai-lambai. Ah! Tidak perlu melambai kerana roket itu memang sudah berada dalam jemalanya sejak di sekolah lagi. Dia tidak tahan dengan telatah temannya yang satu. Mahu dicurahkan segalanya di dalam diarinya. Diari yang memang unik.

Roket kecilnya cepat meninggalkan bumi sebaik sahaja dia menghidupkan enjin. Laju menderu melepasi langit biru. Kemudian masuk ke angkasa lepas. Roket kecil melalui Marikh, Jupiter, Zuhrah dan beberapa planet lain untuk sampai ke destinasi. Rembulan merah.

Iya, diari Tia adalah si rembulan merah. Permukaannya yang tidak rata adalah sinonim dengan hatinya yang sering walang ditinggalkan ibu bapa yang bekerja. Namun kali ini, bukan itu yang mahu dicurahkan. Dia mahu menulis sesuatu dengan airmata sendiri. Sudah menjadi kebiasaannya untuk menulis di permukaan rembulan merah itu. Rembulan itu adalah milik Tia sepenuhnya.

Andy. Murid kelas 5B itu sering menyakatnya. Walaupun dia selalu membalas usikan temannya itu, adakala dia terasa hati juga. Hari ini terjadi hal yang paling dikesali. Andy mengusik bahawa dia sukakan cikgu pendidikan jasmani. Entah mengapa Tia jadi terlalu marah. 


Walaupun tangannya sudah sedia untuk mencoret sesuatu, namun serta-merta fikirannya buntu. Sudah dimulakan dengan ‘ANDY…’ lalu tidak tahu apa kesinambungannya. Akhirnya dia melukiskan sesuatu yang jauh benar daripada rancangannya. 

Popular posts from this blog

Andy dan Tia - Sang Penikam

  Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku.   Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.

Andy dan Tia - Pentas

"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja. 

Andy dan Tia - Suzuki Biru

Andy: Aku rindukan kau, Tia. Tia: Jangan mengarut. Kita sering berbicara, bukan? Andy: Kau ingat ketika kita di universiti dahulu. Kau dan aku ditahan oleh pak pengawal kerana kita pulang ke kampus terlalu lewat. Jam 2 pagi jika tidak silapku. Aku terlalu cemas memandangkan kita pelajar tahun satu yang tidak dibenarkan memandu kereta peribadi dalam kawasan univerisiti. Namun kau keluar dari kereta kerana kau lihat aku sudah lama ditahan. Kau mahu memarahi pengawal itu tetapi ditahan olehnya kerana dia menganggap perbuatanmu sia-sia. Perbuatanmu tidak pernah sia-sia, Tia. Tia hanya ketawa kecil sambil berenang dalam lautan kenangan.  Andy: Tia itu yang aku rindukan. Tia si pemberani, yang mampu bersuara atas nama keadilan. Gadis penentang pada kehendak sekeliling.  Tia senyum lalu membaling pandang ke luar jendela. Mungkin Tia yang dahulu juga sudah lama tidak ditemui oleh dirinya sendiri. Mungkin segalanya sudah diserap oleh satu kekuasaan yang bernama kematan...