Skip to main content

Andy dan Tia - sudut pandang Daruma atas Tanggang

Saya perlu menulis tentang ini. Saya mahu simpan perasaan ini buat peringatan pada masa mendatang.

Saya mahu bercakap tentang #utter2016. Suatu penghargaan terbesar buat saya kerana tidak pernah terjangkau dek akal untuk karya sendiri diadaptasi dalam bentuk filem. Hei, mana mungkin saya, si kerdil ini diberikan peluang seazmat ini. Saya bukan penulis berpengalaman, malah sebuah buku sendiri pun tiada. Maka penghargaan ini terlalu besar untuk saya pikul! 

Bercakap tentang penghargaan tak terfikir dek akal ini, maka cerpen-cerpen yang saya tulis tidaklah saya bayangkan dalam bentuk visual. Saya lebih suka menulis atas sebab saya mahu memanjangkan fikiran saya lalu ia sampai pada fikiran orang lain. Maka pemilihan watak dan latar ialah perkara yang terakhir dalam fikiran. Yang penting, saya ada idea, sementara watak dan latar sebagai perantara. 

Namun kehadiran #utter2016 ini memberikan kesedaran buat saya: saya terlalu sayang pada watak-watak saya, lebih-lebih lagi Andy dan Tia. Seorang penulis pernah berkata pada saya, dia akan menjadi terlalu sensitif sekiranya karyanya dikritik kerana karyanya tidak lain ialah anak-anaknya. Saya kurang mengerti pada waktu itu kerana apalah dihiraukan kerana jika karya itu baik, mana mungkin ia akan disalah tafsir oleh sesiapa? Namun, itu yang terjadi pada Andy dan Tia dalam Per(anti) Mimpi 1.0. 

Andy dan Tia ialah watak-watak yang sangat saya sayangi. Mereka sebenarnya ialah diri saya sendiri yang suka bersoal kemudian menjawab sendiri dalam fikiran. Dengan kata lain, saya suka berdiskusi dan mencari penyelesaian yang mungkin saya boleh fikirkan sendiri tetapi malu untuk dikongsi bersama orang lain dalam bentuk kata-kata. Saya mahu ia terzahir maka saya lahirkan dua watak ini. Sengaja saya memilih watak lelaki dan perempuan yang boleh saya kembangkan sebagai kekasih, suami isteri atau duda dan janda. 

Mengapa nama Andy dan Tia? Kedua-dua nama itu tidak dinisbahkan pada sebarang bangsa dan agama, maka ia membolehkan idea saya relevan buat sesiapa sahaja. 

Kembali pada watak Andy dan Tia yang merupakan jelmaan saya sendiri, saya cuba untuk memasukkan segala rencah falsafah Islam dalam watak ini. Saya mahu Andy menjadi seorang lelaki yang bijak memimpin lantas dihormati dalam keluarga sementara Tia ialah seorang wanita yang berprinsip dan tegas tanpa melupakan hakikat keperempuanannya yang harus akur pada seorang pemimpin yang semestinya seorang lelaki. Oleh itu, setiap patah perkataan dalam dialog mahupun diskripsi dalam cerpen telah saya pilih dengan teliti agar sifat-sifat ini terzahir dalam karya. 

Saya telah menonton #utter2016 sebanyak dua kali. Ya, terlalu sedikit untuk seorang pengkarya yang mahu menghargai dan menyokong usaha yang baik atas karyanya sendiri. Namun saya rasakan dua kali itu ialah bilangan yang cukup tidak sihat khususnya pada watak yang saya sayangi.

Dalam filem, watak Tia merupakan seorang surirumah yang baru diperberhentikan kerja lalu menegaskan bahawa Peranti Mimpi tidak sesuai untuk diberikan kepada Dela, anaknya. Saya lihat air muka Tia dalam filem lebih lemah berbanding kemahuan saya yang membayangkan dia sebagai seorang yang bijak menilai buruk dan baik tentang peranti itu. Baiklah, dengan bahasa mudahnya, filem memaparkan Tia seorang yang sekadar mahu suaranya didengari oleh suami, sedangkan watak itu ialah seorang perempuan yang bercakap untuk menegaskan pendiriannya dalam cerpen. Mengapa saya terlalu beremosi pada hal ini? Kerana Tia ialah saya. 

Bagi watak Andy pula, dia seorang lelaki yang berjaya. Alhamdulillah, ia adalah yang sebagaimana saya harapkan dalam cerpen. Tetapi kali kedua saya menonton filem itu, saya masih rasakan hal yang sama saat saya menonton di kali yang pertama, saya marah pada Andy. 

Saya terasa seperti seorang ibu yang mahu menjotos kepala Andy saat watak itu mula-mula muncul di layar. Kenapa? Kerana watak itu memanggil isterinya dengan perkataan 'hoi!'.

Sangat biadab bagi seorang suami memanggil isterinya dengan panggilan 'hoi!'. Andy tidak sepatutnya begitu. Dia seorang pemimpin yang bijaksana dan memahami kedudukannya sebagai seorang lelaki yang berhemah dan menghormati setiap orang. Panggilan 'hoi!' itu cukup menyentap saya yang duduk di kerusi penonton. Mungkin begini perasaan Daruma (ibu Tanggang) ketika melihat anaknya kurang ajar di hadapannya sendiri. Saya sedih sekali pada beberapa saat itu sebelum saya merefleksi diri, adakah saya juga biadab tanpa saya sedari? Kerana saya juga ialah Andy.  

Namun bak kata Dr Mawar Shafei, apa pun yang terjadi, cerpen saya ialah hak saya dan filem itu ialah hak pengarah. Maka saya tidak boleh mengeluh atau bersedih kerana Andy dan Tia dalam filem bukan lagi anak-anak yang saya tatang. Maka ibarat Daruma yang membiarkan Tanggang berlayar untuk mencari penghidupan yang lebih baik, saya ikhlaskan hati dan tidak akan sesekali pun saya doakan yang buruk-buruk buat Andy dan Tia. 

Dari lubuk hati yang terdalam, terima kasih buat pengarah Sufyan Sam'an yang memilih karya ini dan mendobrak kotak imaginasi dalam minda saya. Terima kasih buat pelakon Hatta Said dan Izyan Mellyna yang memberikan saya gambaran pada watak Andy dan Tia yang selama ini saya cuma letakkan muka saya sendiri sebagai pemainnya. 

Ah! Tulisan ini sekadar untuk berkongsi rasa. Saya sepatutnya menulis cerpen pada saat ini atas sebab janji yang dibuat saat gembira. Ah, tetapi saya tidak rasa ia memakan diri sendiri. 

Popular posts from this blog

Andy dan Tia - Sang Penikam

  Puff! Kali terakhir aku melihat dirimu dalam kesamaran. Kau melepaskan satu senyuman yang paling membahagiakanku suatu ketika dahulu. Namun pada waktu itu, aku tidak tahu maksud pada senyumanmu. Adakah kepuasan atau ucapan selamat tinggal yang sebal buatku? Aku mengharapkan kau akan menoleh kembali untuk aku pastikan antara kedua-dua hal itu dengan kata-katamu, seperti selalu yang kau lakukan. Namun itu tidak berlaku.   Aku pegang pandangan itu hingga ke dalam lenaku. Aku sendiri tidak tahu sekiranya itu adalah lena yang selamanya atau aku dapat menjejak kembali kebiadabanmu. Aku lihat kau pergi sedangkan aku memaut luka yang kau tinggalkan di bawah rusukku. Pisau yang kau tusuk itu masih kau biarkan. Mungkin itu adalah romantismu, agar aku dapat nikmati hidup bersisa bisa sebelum kisah hari ini hilang begitu sahaja. Dan tiba-tiba semuanya menjadi terlalu gelap.

Andy dan Tia - Pentas

"Terima kasih atas puisimu ini." Andy menghantar Tia ke atas pentas sastera itu dengan senyuman paling jujur. Walau apa yang terjadi, Andy cuba untuk melepaskan beban wanita itu. Bukan miliknya, tetapi sesungguhnya ada rasa tanggungjawab yang dia letakkan atas pundak sendiri untuk menolong wanita itu bilamana diperlukan. Dan saat dia tidak berpuisi untuk dibaca di atas pentas, Andy segera menggubah sesuatu untuknya. Tidaklah terlalu cantik, tetapi cukup kadar seninya. Andy nampak Tia disuakan puisi yang lain daripada pengurus pentas. Dari cara bicara tubuhnya, Tia nampak tidak selesa sambil menggenggam erat kertas kecil berisi puisi Andy. Andy tunduk. Jika diketahui Tia bahawa dia sedang memerhati, pasti wanita itu dihurung kebersalahan. Hakikatnya Andy mahu Tia tahu bahawa dia tidak akan sesekali menghukum atas apa-apa keputusan Tia. Andy tahu benar, puisi itu cuma cukup kadar seninya sahaja. 

firasat hamba pada hari

Saat gelita malam merajuk Hari diwakili suria untuk menjadi imam Para insan akan tergerak untuk bangkit berdiri Setelah malam menutup laluan Dalam mengejar apa yang tidak pasti Kemudian hari terus membara Dibakar suria garang menjerit Teruskan wahai makhluk ciptaan Tuhanku Kejar apa yang engkau impikan Selagi aku disini menyinari jalanmu Hembusan bayu ibarat menyokong Menyorak perjalanan anak adam Sekali hembusan menusuk ke tulang insan Bak memberi semangat luar biasa Anak adam kembali bernyawa Bahang suria dicemburui sesuatu Lalu hari yang terang berubah mendung Titisan air menimpa bumi Jalan manusia tersekat kembali Impian tidak dapat dilaksanakan lagi Singgah hujan tidak lama Muncul bianglala sinari hari Warna segar beri rangsangan Manusia mahu mengejar impian Ingin gapai peluang sekali lagi Namun belum sempat meneruskan perjuangan Gelita malam kembali menyelubungi Hari manusia terhenti disitu Mereka kembali berhenti berharap Namun kedatangan suria sentiasa dinanti Selagi Apa yang t...