Kenapa kau tidak mahu menyentuh kertas kesat mulut itu? Kau tahu bukan, yang serviette itu aku sengaja sisipkan di sisi cawan teh chamomile yang kau pesan tadi. Cubalah buka dan lihat isinya. Ada sebuah puisi itu yang sudah aku karang sejak pertama kali kau mampir di kafe ini. Tetapi selamanya aku terus menyimpannya dan aku ranumkan bait-baitnya di dalam kepala. Hinggalah tiba hari ini, kau pesan secangkir teh untuk menemanimu yang mau menikmati senja. Oh, kau tidak akan menyentuh serviette itu? Barangkali aku cuma pencinta bodoh yang mengharapkan kau lakukan sesuatu yang tidak menjadi kemestian sepertimana kau mengharapkan mentari jingga itu mengusikmu di balik jendela kaca. Lalu kau pergi. Teh yang kau pesan masih berbaki bersama cinta yang bergenang di permukaannya.
Mandala Mewangi Seorang Srikandi Bertopeng Scaramouche