Guyur tidak renggang dengan langit malam sejak sepurnama
lalu.
Ttia masih duduk sambil melihat titis-titis yang menari di
luar jendela. Mungkin Tuhan mahu memujuknya, atau memeluknya dengan dingin yang
tidak tercipta dek manusia. Malangnya, dingin yang diperturunkan oleh pencinta
kiri kanannya terlalu membeku hingga dia terpaku untuk lari dari segalanya.
Rama dan Bunda. Kekasih sejak kecil yang tidak putus
memujuknya, sesuai dengan amanah Tuhan kepada mereka. Siang tadi, mereka berpapasan fikrah lagi. Bunda
yang lebih lantang tetapi penuh susila, sementara Rama pula sosok perkasa yang
lebih selesa berfikir tetapi tidak pernah putus membujuk.
Maka, di manakah Ttia?
Oh, ada di sini sambil mengutip sisa-sisa airmata langit yang lebih kecewa atas
perpisahan manusia yang tidak pernah putus berlaku. Rama dan Bunda tidak pernah tahu. Atau mereka faham bahawa Ttia
cuma anak kecil yang tidak layak berperasaan sama? Atau mungkin selama ini, Ttia
memilih untuk menari dalam hujan lalu menyatukan guyur dengan airmata sendiri?